Pengalaman 8 Tahun Belajar di Tadika dan Sekolah Rendah Aliran Cina
Assalamualaikum semua.. Saya Putra Nazaratunnaim!
Bertemu kembali kita dalam sesi kali ini, nak cerita berkenaan pengalaman saya bersekolah di tadika dan sekolah rendah aliran cina di SJK (C) Ken Boon bertempat di Kukup Laut, Pontian, Johor selama 8 tahun dari tahun 2003-2010.
Ramai tanya saya, kenapa ayah saya sekolahkan saya kat sekolah cina? Pendapat saya, sebab kawasan saya di Kukup Laut, memanglah perkampungan orang melayu ramai, tapi berdekatan kawasan saya ramai orang Cina. Ini untuk mudahkan saya communicate, elakkan ditipu, senang berurusan dan sebagainya.
Bila dah besar ni, barulah saya sedar memang betullah, kelebihan berbahasa asing ini sangatlah penting dan membezakan kita dengan orang lain.
Ada satu masa tu, saya pergi kedai motor Cina nak ganti part motor. Saya saja la tanya dalam Bahasa melayu, berapa RM kena ni? Bos dia bagitahu pekerja dia dalam Bahasa Cina, harganya RM15. Tapi pekerja dia bagitahu saya RM18. Sekali saya cakap dalam Bahasa Cina, "Bukan ke tadi bos kasi RM15?". Ha terkejut beruk dia haha. Ini antara keseronokan dapat berbahasa asing, belum tambah lagi dapat diskaun dan sebagainya. (Tapi kaum Cina jangan terasa ya, tak semua orang jahat dan tak semua orang jujur, bangsa lain pun sama je - sikap individu, bukan sikap kaum)
Berbalik kepada topik asal, saya bersekolah di sekolah Cina boleh dikira dalam 8 tahun (2 tahun tadika, 6 tahun sekolah rendah). Jujur saya cakap, saya pun taktahu macam mana saya boleh faham dan teruskan sampai UPSR. Masa Tadika dulu, tak ramai orang Melayu yang masuk. Ada yang masuk pun, dia tak dapat nak bawa dan faham Bahasa Cina, jadi masa sekolah rendah terpaksa dipindahkan ke sekolah Melayu. Saya pun tak berapa ingat kenangan masa tadika, sebab yela masatu kecik sangat lagi. Tapi Alhamdulillah saya lepas dan teruskan perjuangan sampai habis darjah 6.
Masa masuk sekolah rendah, betullah memang sekolah cina ni susah dan mencabar. Semua persekitaran boleh dikatakan ditulis dalam bahasa cina. Cikgu-cikgu dia memang mostly Chinese, ada dalam 2-3 orang sahaja cikgu berbangsa Melayu.
Dari segi pembelajaran, jujur cakap sangat susah dan strict. Buku-buku teks, latihan, memang banyak sangat, jadi setiap hari memang terpaksa untuk susun ikut jadual, sebab kalau tak ikut jadual, memang jenuh nak bawa semua, penuh beg dan berat.
Kerja sekolah pula memang banyak gila. Yang paling seram, kalau ada kerja sekolah tak siap, memang confirm kena pukul pakai rotan kat tangan. Sampai bengkak-bengkak weh kena pukul. Jadual mula dalam pukul 7.30am (cikgu masuk kelas), pukul 7.15am saja dah kena kumpul kerja sekolah semalam. Kalau cikgu cek ada yang tak hantar atau tak siap, habislah! Tapi environment memang lain sangat, kita pun tak berani nak melawan. Ibu ayah semua pun faham keadaan kat sana, takda report2 polis bagai. Tapi bagus, benda-benda camni yang jadikan kita makin disiplin.
Ada satu fakta menarik, kalau korang pelik kenapa kebanyakan orang Cina pandai sangat bahagian kira-kira, ini rahsianya. Mereka sangat pentingkan matematik, kerja sekolah dan latihan memang banyak gila. Yang paling penting, lepas habis je UPSR, kita takda rehat-rehat. Cikgu still ajar and kasi kerja sekolah macam biasa (pakai module tingkatan 1 punya). Jadi, merdeka memang takda la untuk orang yang habis UPSR ni. Ini rahsia yang menyebabkan saya dapat banyak kali 100% markah dalam exam matematik masa Form 1 and Form 2, sebab kebanyakannya dah belajar masa sekolah rendah!
Dari segi kantin, Alhamdulillah mereka masih bertolak ansur dengan kasi orang Melayu yang jaga kantin. Jadi makanan semua halalan toyyiban. Kalau mereka nak makan benda-benda yang kita takleh makan macam daging khinzir dan sebagainya, itu mereka bawa sendiri dari rumah. Cikgu-cikgu pun sangat concern berkaitan pemakanan kami, mereka akan bagitahu kalau makanan tu kami takleh makan. Kalau ada apa-apa perayaan atau jamuan yang perlu untuk bawa makanan, mostly memang dorang akan tempah dari restoran yang tukang masaknya Melayu.
Dari segi agama, Alhamdulillah mereka takda pun sentuh hal agama kita. Bahkan, mereka siap sediakan satu cikgu atau ustaz untuk ajar bahagian Pendidikan Islam semasa kaum lain ambil pengajaran Pendidikan moral. Saya pun pagi sekolah Cina, petang sekolah agama, Alhamdulillah pegangan agama pun dikukuhkan dari kecil.
Tapi ringkasannya, apa punca yang menyebabkan saya pandai cakap and faham bahasa Cina, ialah dengan praktikkan. Selalu dengar dan selalu bercakap. Ada satu masa tu, saya nak ke tandas tapi saya cakap bahasa Melayu, peh kena marah. Cikgu paksa juga cakap bahasa Cina untuk ke tandas, jadi kita pun belajar dengan kawan sebelah tentang ayat minta izin untuk ke tandas.
Jadi kesimpulannya, ini adalah serba sedikit pengalaman saya belajar di tadika dan sekolah rendah Cina (mungkin orang lain pengalamannya lain). Dulu tak ramai ibu ayah Melayu yang nak masukkan anak mereka ke sekolah Cina, tapi sekarang dah ramai. Ada pro and cons juga, cuma sesiapa yang mak ayah dia masukkan ke sekolah Cina tu, janganlah merungut ya, ada sebab dan hikmahnya tu.
Lepas habis UPSR, ayah plan nak masukkan saya ke sekolah menengah Cina, tapi dek kerana kekangan kewangan, saya masuk ke sekolah menengah biasa di SMK Sri Kukup. Yang menariknya, kali ini saya ambil aliran agama dan bahasa Arab pula. Saya akan ceritakan di entri akan datang. Terima kasih kerana sudi membaca, Assalamualaikum!
Gambar di bawah adalah gambar masa Darjah 6 (tahun 2010) bersama cikgu kelas, Cikgu Law. Saya paling kanan row, barisan paling bawah. Rindu kenangan ini.
Jumpa lagi di entri akan datang! Semoga bermanfaat! Assalamualaikum..
Jangan lupa follow media sosial saya ya - Tekan je tulisan biru tu
Ulasan
Catat Ulasan